36 peratus majikan timbang naikkan gaji pasca PRU-14
KUALA LUMPUR: Kira-kira 36 peratus majikan di Malaysia menimbang untuk memberi kenaikan gaji antara tiga hingga lima peratus kepada pekerja mereka pasca pilihan raya, demikian menurut Laporan Tinjauan Gaji Pilihanraya Umum 14 (PRU-14) oleh Jobstore.com.

Laporan itu juga berkata, lebih daripada 63 peratus majikan mempunyai pandangan yang lebih optimis selepas PRU-14 lalu.

Selain itu, hasil kaji selidik terbabit juga mendapati peluang pekerjaan yang lebih besar dijangkakan selepas PRU14 berbanding sebelum pilihan raya lalu.

Pengurus Negara Jobstore.com, Carmen Chong, berkata 48 peratus daripada majikan di Malaysia menunjukkan peningkatan aktiviti pengambilan pekerja, berbanding 12 peratus sebelum PRU14.

"15 peratus daripada majikan yang ditinjau telah menyebut bahawa mereka akan mengekalkan tahap pengambilan pekerja yang sama selepas PRU14.

"36 peratus daripada majikan akan mempertimbangkan kenaikan gaji tiga hingga lima peratus pada tahun ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Carmen berkata, kaji selidik itu juga menunjukkan kepercayaan yang semakin meningkat yang dikaitkan dengan peningkatan dalam iklan pekerjaan, iaitu 11 peratus meningkat selepas PRU14, di mana iklan pekerjaan peringkat eksekutif menyumbang lima peratus daripada pertumbuhan keseluruhan.

Jelasnya, majikan juga kini berkongsi pandangan yang lebih optimistik ke arah pasaran pekerjaan selepas PRU14.

"Pemacu utama sentimen ini adalah peningkatan keyakinan terhadap pertumbuhan ekonomi, pengembangan perniagaan tempatan dan kemasukan syarikat asing yang akan membawa kepada penciptaan pekerjaan dan keperluan untuk kepelbagaian kemahiran.

"Oleh itu, kita boleh menjangkakan aktiviti pengambilan pekerja dan kenaikan gaji akan bermula selepas PRU14," katanya.

Beliau berkata, majikan juga perlu mengkaji keperluan pekerja yang semakin meningkat sebagai faktor tarikan untuk bersaing dalam daya tarikan bakat dan pengekalan untuk mendapatkan kecekapan operasi.

"Pada asasnya, adalah penting bagi majikan untuk mencari keseimbangan antara faedah yang diingini pekerja dan faedah yang ditawarkan untuk dapat mengekalkan dan menarik bakat.

"Kenaikan gaji hanyalah langkah pertama untuk menarik bakat yang berpotensi," katanya.

Laporan setebal 25 muka surat itu turut mendedahkan pelarasan gaji yang dijangka selepas PRU14 yang boleh digunakan majikan sebagai panduan pengambilan pekerja dengan menawarkan gaji yang bersesuaian untuk menarik bakat yang tepat.

Di samping kenaikan gaji, tiga manfaat teratas lain yang diingini oleh pekerja adalah insurans perubatan, elaun pengangkutan dan dana persaraan.

X